Thursday, June 17, 2010

SINOPSIS PROGRAM CAMERON HIGHLAND

Nama Program: MEMBUKA AL HIKMAH DALAM UBUDIAH

Terokai Rahsia Kekuatan alHikmah dan Barakah untuk Membangunkan Bisnes, Karier dan Keluarga Bahagia.

Pengisian

Program ini diisi dengan

1. Diskusi pelbagai hala

Islam menggalakkan umatnya maju, berjaya dan bahagia
Bangunkan di atas tapak keluhuran ubudiah kepada Allah. Kekayaan dunia adalah satu kelebihan kepada Islam.

Burung Yang Patah Sayap dan Burung Yang Memberi Hidup
Memahami taqdir. Pilihlah taqdir yang membawa kekuatan kepada diri, keluarga dan ummah.


Kita dan Tenaga
Tenaga Fizikal, Tenaga Dalam, Tenaga Wirid, Tenaga Rohani & Tenaga Ketuhanan. Memahami dan menggunakan tenaga yang putih utnuk kejayaan.

Addeen pembuka tenaga alhikmah.
Addeen yang diamalkan secara haq dan bersepadu akan mengeluarkan Al Hikmah. Al Hikmah adalah pembuka pertolongan langit untuk membina hidup dunia dan akhirat. Pelajari Al Hikmah Ahli Badar untuk membangunkan bisnes, karier dan hidup bahagia.


Sanad penyambung barakah
Jalinan pertalian kekuatan barakah adalah satu kelebihan yang mesti dikeluarkan untuk memberi kelebihan dalam menghadapi persaingan bisnes dan karier.


Amalan Pembina Tenaga Keheningan
Falsafah dan Teori amalan zikir dan senaman Pernafasan & tafakur Sheikh Abdul Malik.

Tajuk Khas: Keistimewaan hari senin
Hari kelahiran Rasulullah saw adalah hari Allah membuka rahmat. Rahmat Allah boleh membantu membuka pelbagai pertolongan dalam hidup. Gunakan kelebihan ini untuk membina kejayaan dan kebahagiaan.


2. Latihan Praktikal

Senaman Pernafasan Syaikh Abdul Malik, Zikir dan Tafakur bersanad.

Aplikasi dalam bisnes, karier dan hidup.
Bonus: Menyerap tenaga putih alam

3. Soal Jawab

4. Pengijazahan Amalan bersanad

Amalan Zikir Harian, Senaman Pernafasan & Tafakur Shaikh Abdul Malik,

Bonus: Doa Mustajab

Bicara Tauhid Dalam Dimensi Fizik

Bismillahirrahmanirrahim

Bicara Tauhid Dalam Dimensi Fizik

Siri 1: Fizik Moden Menemui Allah

Pendahuluan

Al Marhum Professor Dr Muhammad Al Mahdi (gambar sebelah) pernah membuat satu thesis untuk PhDnya yang kempat dalam bidang fizik untuk membuktikan bahawa tiada penciptaan kepada wujud alam. Allah tidak wujud, bahkan alam ini wujud dengan sendirinya. Tetapi beliau terpaksa akur dengan hasil kajiannya sendiri sehingga beliau berkata: ‘Oh! No.’ Dan beliau terduduk bungkam dengan bukti sains fizik bahawa Allah itu wajibul wujud. Beliau kemudiannya telah mencari Tuhan yang ditemuinya dalam fizik. Setelah hampir berputus asa, beliau telah menemui Tuhan (dalam Fizik) yang dicarinya di dalam Al Quran.

Kata walidku, Syaikh Hj Ibrahim Hj Mohamad, kunci memahami kewujudan Allah adalah memahami masa dan ruang. Masa dan ruang disebut sebagai ‘spacetime’ dalam fizik moden. Masa dan ruang adalah platform kepada wujud makhluk Allah. Tanpa masa dan ruang wujud alam material (alam benda) ini tidak boleh berlaku. Ini adalah kalam fizik. Banyak tajuk-tajuk yang berkaitan dan amat menarik dalam perbicaraan Einstein, Pauli, Hubble, Planck, Greene dan sebagainya. Mereka membuka bahasan tentang alam di paras atom dan lebih kecil (atomic and sub atomic level). Rupanya quantum mechanic telah membuka rahsia wujud alam di peringkat yang amat halus, tidak dapat dikesan oleh mata kasar.

Prof Dr Osman Bakar telah menulis dalam bukunya Tawhid and Science :

‘Dalam Islam, Agama yang bertunjangkan kesedaran tauhid adalah sumber kepada roh keilmuan dalam semua bidang. ‘

Islam tidak pernah memisahkan sains dari keagamaan. Bahkan setiap ilmu itu merupakan ilmu tauhid. Alam ini sentiasa berkata bahawa Allah itu esa kembalikan dirimu kepada Allah. Keesaan, keagungan dan kesempurnaan Allah terserlah bila wujud alam ini dikaji secara mendalam dan dipandu oleh nur Al Quran.

Aqal dan Wujud Allah

Allah adalah zat yang wajibul wujud. Wujudnya tidak boleh ditolak oleh akal yang waras. Maulana Syed Muhammad Zauqi Shah (1878-1951) mengatakan bahawa adalah lebih susah membuktikan Allah tidak wujud dari membuktikan wujudnya Allah. Aqal manusia mempunyai potensi untuk mencapai keputusan bahawa Allah itu memang wujud, tetapi untuk mengenali Allah, aqal terhenti di sempadan yang besar tanpa panduan dari Allah sendiri. Cubaan untuk memahami hal ehwal Allah tanpa panduan langit akan membawa kesesatan kerana kelemahan aqal yang terikat dengan apa yang dapat dikesan oleh deria dan khayalan semata-mata.

Kalam Maqru ah dan Kalam Manzurah

Allah memperkenalkan diriNya melalui kalamNya. Ayat Al Quran dan Hadis Nabi Muhammad saw adalah kalam yang maqru ah (yang dibaca), yang mengajar serta memandu manusia untuk mengenal Allah. Al Quran merakam kalamullah yang mengatakan bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat seperti berikut;

Ayat 11, Assyura

Al Quran mengatakan bahawa Allah berkata-kata dengan Nabi Musa as dalam

Ayat 163, AnNisaa’

Ini adalah contoh-contoh kalam maqru ah. Kalam maqru ah adalah ayat-ayat Allah yang tertulis di dalam mashaf Al Quran dan juga hadis-hadis Nabi saw. Melalui kalam maqru ah ulama telah menyusun kitab-kitab usuluddin untuk memahami kewujudan Allah swt.

Al Quran juga memimpin hati, aqal dan deria manusia untuk menyelami lubuk alam diri dan alam semesta. Hasilnya adalah manusia akan mengenal keunikan dan kehebatan penciptaan dirinya sendiri dan alam yang didiaminya. Tanda-tanda atau ayat-ayat ini disebut sebagai kalam manzurah. Kalam manzurah adalah tanda-tanda yang wujud pada alam. Kita lihat bagaimana Allah memancing minat pengkajian dan penerokaan ilmiah dalam ayat-ayat berikut:

Kamilah yang mencipta kamu (daripada tiada kepada ada wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya. Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya? Ayat 57-59, Al Waqiah

Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan? Ayat 17-20, Al Ghaasyiah

Alam ini adalah kalam manzurah. Alam sejagat ini juga merupakan kalam yang hidup yang menjadi pentas Allah memperkenalkan diriNya kepada para hambaNya. Manusia yang meneroka alam akan menemui tanda-tanda serta jejak yang ditinggalkan oleh Sang Pencipta. Membaca isyarat yang ada pada lapisan-lapisan alam akan membawa manusia mengenali keagungan dan kesempurnaan Allah.

Kalamullah itu jelas di luar sana dan dalam diri manusia. Renungan ke lapisan yang lebih jauh dan mendalam akan membawa kita meneroka sifat-sifat Allah. Keindahan gunung ganang dan air terjun akan membawa manusia menikmati keindahan ciptaan Allah. Kajian melalui penggunaan teknologi membuka lapisan yang tidak terjangkau dengan deria biasa manusia. Seperti kosmologi, melalui teleskop super membawa manusia mengembara ke ufuk angkasa yang semakin jauh dan semakin jauh. Teleskop Hubble membawa pandangan manusia sejauh berbillion tahun cahaya menjangkau angkasa raya . Wilayah yang digelar Hubble Ultra Deep Field telah menuntut kekaguman manusia tentang kebesaran alam sejagat. Langsung ia memperkenalkan kekuasaan Allah mengatur objek yang tidak terbilang di angkasa raya. Sistem yang sempurna sehingga tiada perlanggaran yang menghancurkan alam semesta keseluruhannya menuntut kepakaran fizik gerakan yang amat halus.

Lebih dalam kajian manusia menyelami dan memerhati alam, lebih banyak kefahaman tentang Allah yang akan terbuka dan difahami. Pengkajian dan penerokaan alam material ini dilakukan oleh para saintis. Mereka sebenarnya telah membuka kepada dunia pelbagai ilmu tentang Allah swt. Lebih dalam mereka menyelam lebih indah dan mengkagumkan mutiara yang ditemui.

Al Quran Mesti Memimpin Sains

Ayat-ayat Al Quran adalah panduan mutlak yang tidak boleh diganti dalam menggali semua ilmu, apa lagi makrifatullah. Namun begitu, para saintis telah menemukan tafsiran kepada ayat-ayat Al Quran dalam kajian saintifik mereka. Penjelasan yang mereka berikan berdasarkan kajian bertajribah (experiment) banyak kali memberi kefahaman yang jelas dan terperinci tentang maqsud Al Quran. Tetapi jika mereka cuba lari dari panduan langit ini maka mereka sebenarnya akan terus menyimpang dari hakikat alam. Kita boleh lihat bagaimana saintis dari golongan evolutionist terkial-kial mencari spesis perantara yang boleh menyambung rantaian wujud makhluk dalam teori evolusi.

Yang paling baik adalah para pengkaji ini mengambil Al Quran sebagai pemimpin dalam meneroka lubuk alam. Isyarat-isyarat yang terkandung dalam Al Quran memimpin manusia memahami sunnah Allah pada penciptaan dan perjalanan alam. Kefahaman tentang sunnah ini membawa manusia kepada tauhid dan ubudiah di samping teknologi yang ditiru diilhamkan) dari sunnah ini.

Edwin Hubble Menemui Bukti Allah Wujud

Pengakajian saintis tentang kejadian alam semesta telah membawa mereka kepada hakikat penciptaan alam. Penemuan Edwin Hubble bahawa galaksi-galaksi dalam alam semesta ini semakin jauh dari satu sama lain menyatakan bahawa alam ini sedang berkembang dan bermula dengan satu titik (point of singularity). Permulaan dari satu titik ini membuktikan bahawa wujud alam ini mempunyai permulaan. Yakni, alam ini asalnya tiada, kemudian diadakan. Jika ia diadakan makan wajiblah ia mempunyai pencipta. Penemuan ini memaksa dunia sains akur akan kewujudan Allah yang telah mencipta alam ini. Ummat Al Quran telah awal-awal lagi menerima hakikat ini sebagai satu pegangan kerana Allah telah memberitahu mereka dan Allah memang telah mencabar orang yang tidak beriman dengan ayat di bawah,

Tidakkah orang-orang kafir melihat bahawa langit dan bumi itu dahulunya sesuatu yang padu, sebelum kami pisahkan antara kedua-duanya. Ayat 30, Al Anbia’

Sehubungan dengan hal ini, Captain Abdul Wahid Baksh mengatakan bahawa dunia barat telah ketinggalan bas dan Muslimin adalah juara pemacu sains yang tiada tandingannya.
Konsep Masa dan Ruang Membuka Makrifatullah

Walidku membuka bicara tentang wujud Allah dengan memperkenalkan garis penciptaan sebagai pemisah antara alam wujud Allah dengan alam wujud makhluk. Wujud makhluk adalah wujud yang baharu. Manakala wujud Allah adalah wujud yang sedia ada. Allah menyatakan bahawa dia yang Awwal dalam surah alHadid ayat 3. Allah yang sedia ada telah memulakan penciptaan kepada alam ini.

Stephen Hawking menyatakan : ’Jadi, akhirnya kerja kami ini telah diterima umum dan sekarang hampir semua orang menganggap bahawa universe in bermula dengan big bang singularity (titik satu big bang)’. Big Bang adalah satu letupan besar yang menjadi permulaan kepada mulanya wujud alam benda ini.

Bermula dengan big bang, wujudlah bahan bina paling asas kepada pembentukan jirim iaitu zarah (particle; quarks). Zarah-zarah pertama ini telah membentuk proton, elektron dan neutron atom. Seterusnya atom-atom ini telah membentuk molekul-molekul dan membina jirim semua alam ini. Bermula adanya alam juga adalah permulaan masa. Sebelum big bang masa adalah sifar (T=0). Einstein telah menyatakan bahawa masa tidak boleh dipisahkan dengan ruang (space) . Wujudnya alam ini adalah di atas platform masa dan ruang (spacetime). Alam ini tidak boleh wujud tanpa masa dan ruang. Masa menyediakan urutan peristiwa supaya kejadian tidak terjadi serentak. Manakala wujudnya jirim memerlukan panjang, lebar dan tinggi.

Jadi pada umumnya sifat alam dan segala isinya ialah mengambil masa dan ruang. Kewujudan Allah pula tidak tertakluk kepada masa dan ruang kerana Dia sudah sedia wujud sebelum berlakunya big bang. FirmanNya:

Huwa Al Awwalu Wal Akhiru
Dialah yang awal dan Dialah Yang Akhir Al Hadid; 3

Allah mengatakan bahawa Dia lah yang Awal. Yang awal bermakna dia yang paling awal wujudnya dan memulakan wujud yang lain. Ulama usuluddin telah menafsirkan perkataan awal sebagai qidam yang menyatakan bahawa wujud Allah itu tanpa permulaan. Yakni wujudNya tidak didahului oleh tiada. Allah sudah sedia ada sebelum adanya masa.

Allah menyatakan bahawa Dialah yang Akhir. Al-Akhir ditafsirkan oleh ulama usuluddin sebagai Baqa’ yakni tiada penghujung kepada wujudnya Allah. Allah wujud tidak akan binasa atau hilang kewujudanNya. Dialah kekal dan tidak akan binasa. Dialah yang memberi kesinambungan kepada wujud alam dan segala isinya.

Tiada awal dan tiada akhir sebenarnya menyatakan tiada masa. Einstein menyatakan bahawa masa bukan wujud secara kaku sebagai satu jalur pengukur mutlak kepada setiap wujud dan gerak, dan tidak berubah atau tidak boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain.


bersambung