Sunday, November 15, 2009

TAUHID

dengan Nama Ilahi Yang Maha Memberi Petunjuk

MUQADDIMAH

Saya merasa sangat bertuah kerana berada di bawah didikan seorang guru yang amat mendalam ilmunya dan amat terbuka kepada perkembangan zaman. Walidku membawa bicara yang amat berbeza dan segar untuk memahami ilmu tauhid. Sesungguhnya ilmu tauhid adalah ilmu yang hidup. Ia hidup dalam setiap bidang ilmu. Penulis belajar tauhid yang berdasarkan ilmu usuluddin Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam wajah yang lebih sezaman. Media sains fizikal adalah satu pentas yang amat menarik kerana ia membicarakan hal-ehwal makhluk Allah. Dunia akademik perdana (mainstream) berkembang dalam fahaman atheisme.

Penemuan dalam bidang astronomi banyak memberi keyakinan bahawa alam ini memang dicipta. Hukum masa, ruang dan jirim sebenarnya banyak membuka rahsia pengenalan kepada sifat-sifat alam yang dicipta ini (makhluk). Pengenalan kepada sifat alam ciptaan juga membuka ilmu tentang sifat-sifat Tuhan yang menciptanya. Dalam perguruan saya dengan Syaikhuna Tokku, saya telah memahami pelajaran usuluddin lewat bicara quantum fizik dan beberapa bidang sains lain. Tulisan ini adalah percubaan saya untuk mengutarakan mutiara-mutiara yang saya dapati dari beliau. Apa yang dibicarakan adalah dari kefahaman penulis dan penulis amat suka jika mendapat maklum balas dari semua pihak.

SAINS FIZIKAL DALAM SKOP HUKUM ADAT

Hukum adat adalah hukum yang ditentukan melalui kebiasaan yang dilihat, diperhati atau dikaji. Kebiasaan yang berlaku dalam alam ini diperhatikan dan ditetapkan hukumnya. Contohnya, kebiasaan pada pisau adalah ia menghiris. maka dikeluarkan hukum bahawa pisau wajib menghiris pada hukum adat. Api pula kebiasaannya adalah membakar. Kebiasaan boleh juga disebut sebagai tabiat. Di mana tabiat air ialah ia mencuci, menghilangkan haus dan juga memberi kesegaran. Tabiat atom apabila dipecahkan akan mengeluarkan tenaga yang hebat. Sebenarnya, Hukum adat adalah sunnatuLlah pada alam ini. Alam ini berjalan mengikut kehendak Allah yang menjadi tabiat alam. Hukum adat juga adalah hukum fizik alami. Alam ini hidup dan berjalan di atas undang-undang yang jelas dan hampir tetap (sentiasa KONSTAN). Di sebalik setiap detik yang berlalu, hukum ini berjalan melaksanakan taqdir Allah. Manusia belajar memahami undang-undang ini dan hidup selari dengannya untuk mengelakkan akibat-akibat yang tidak disenangi seperti mereka mengelakkan diri dari memakan bahan beracun atau yang mempunyai virus merbahaya.

Penemuan Tenaga Atom

Nuclear energy is released by the splitting (fission) or merging together (fusion) of the nuclei of atom(s). The conversion of nuclear mass to energy is consistent with the mass-energy equivalence formula ΔE = Δm.c², in which ΔE = energy release, Δm = mass defect, and c = the speed of light in a vacuum (a physical constant). Nuclear energy was first discovered by French physicist Henri Becquerel in 1896, when he found that photographic plates stored in the dark near uranium were blackened like X-ray plates, which had been just recently discovered at the time 1895.

(rujuk:http://en.wikipedia.org/wiki/Nuclear_energy)

Manusia juga mengkaji undang-undang ini untuk mengeluarkan potensi alam mengikut acuan yang dikehendaki. Saintis nuklear fizik mengkaji tabiat atom, menemui rahsianya dan menghasilkan tenaga atom. Setelah menemui (stumble upon?) rahsia pemecahan atom mereka membuat ramalan bahawa bila atom dipecahkan tenaga yang hebat akan dihasilkan. Lalu tajribah (eksperimen) dilakukan berulang kali untuk membuktikan bahawa penemuan itu terjadi mengikut ramalan mereka. Maka timbullah formula yang terhasil dari penemuan rahsia tabiat alamiah ini. Dan manusia melihat tenaga nuklear sebagai satu kenyataan yang boleh ditiru dan dikeluarkan bila-bila masa dan di mana sahaja.

Apa sahaja kajian, tajribah dan penemuan dalam sains fizikal sebenarnya tidak terlepas dari hakikat bahawa semuanya berjalan di atas kehendak dan qudrat Allah. Ia kembali kepada bicara hukum adat dalam kitab-kitab usuluddin. Namun ilmuan hari ini gagal mengaitkan sains fizikal ini dengan hukum ketuhanan Allah. Mereka gagal melihat 'tangan Allah' dalam fenomena alam. Berbeza dengan para ilmuan di zaman Umayyah, Abbasiyah, Othmaniyah dan yang sepertinya. Sarjana Sains dan Tauhid seperti Al Khawarizmi, Ibnu Nafis, Al Kindi dan lain-lain menggali lubuk alam dan menemui rahsia undang-undang Allah di dalamnya. Kekaguman mereka tentang perjalanan alam membawa mereka sujud di kaki Allah yang Maha Pencipta. Lalu hati mereka bertambah khusyuk dalam ubudiah kerana makin jelas dan terang bagaimana hebatnya ilmu Allah. Mereka mengajak manusia mengeesakan Allah melalui kajian dan penemuan mereka. Dan mereka menghadiahkan umat manusia dengan teknologi yang penuh dengan nilai kasih sayang dan tidak membawa kerosakan kepada manusia dan alam.

Keadaan berbeza kita lihat berlaku di zaman ini. Saintis aliran utama (mainstream) menguasai pentas keilmuan dunia dan mereka meletakkan asas ilmu mereka pada paksi athiesm (rujuk God Delusion, Dr R. dawkin) sehingga mereka boleh percaya bahawa manusia berasal dari beruk. Dan mereka membawa umat manusia lari dari tauhid dan kasih sayang Allah.

Mereka terlupa, sengaja lupa atau memang dihijab Allah untuk memahami bahawa semua yang berlaku ini masih berada dalam kekuasaan mutlak Allah.


SAINS FIZIKAL DALAM TAKLUK QUDRAT DAN IRADAT ALLAH

Stastik Penting Matahari
• Jarak bumi - matahari: 150juta km
• Bahan Komposisi Matahari: 74% Hydrogen, 25% Helium, 1% lain (ikut jisim).
• Sinar Matahari: ~ 4 x 10³³ erg/s. [secerah 4 trillion trillion mentol 100-watt ]
• Umur matahari: 4.5 billion tahun.
(rujuk: http://ds9.ssl.berkeley.edu/solarweek/MONDAY/facts.html)

Matahari berjalan mengikut jalan yang telah ditentukan Allah sebagaimana setiap satu zarah itu wujud dan bergerak dengan kehendak Allah. Undang-undang atau sunnatullah adalah landasan ghaib alam bergerak. Jika Allah tidak menghendaki sesuatu yang lain maka alam ini akan tetap wujud dalam bentuk yang sentiasa sama. Api akan sentiasa membakar. Pisau tajam akan terus menghiris. Pemecahan atom akan langsung menghasilkan ledakan tenaga super. Tabiat alam ini seolah-olah tetap dan abadi. Kesempurnaan wujud alam serta kerumitan undang-undang fizikal ini memberikan bukti bahawa ia memang dicipta oleh satu kuasa yang maha Bijaksana dan Maha Teliti. Tidak mungkin ia wujud dengan sendirinya dengan sistem sehebat dan seteliti yang berjalan ini. Kehebatan dan kerumitan ini jelas dilihat dalam buku-buku yang merakamkan kajian dan penemuan rahsia alamiah seperti fizik, astro fizik, micro biologi, kimia, kejuruteraan bendalir dan lain-lain.

Matahari telah wujud 4.5 billion tahun yang lepas dan menjalankan tugasnya dengan sempurna sehingga hari ini. Ramalan mengatakan bahawa ia akan terus berkhidmat kepada alam selama 5 billion tahun lagi sehingga stok hydrogen dan heliumnya kering. Siapakah yang memulakan pembakaran hydrogen dan helium pada awal wujudnya? Jika matahari menghampiri bumi lebih dekat dari 150 juta km,(jaraknya dalam orbit) bumi ini akan menjadi terlampau panas untuk dihuni makhluk hidup. Matahari adalah termasuk makhluk yang tidak mempunyai akal dan kemahuan sendiri. Para saintis yang menolak hukum penciptaan dan hukum taqdir sebenarnya kebingungan mencari kekuatan yang mengawal matahari yang terus kekal dengan tabiatnya selama berjuta tahun. Sila lihat ayat yang digunakan oleh salah satu laman web mereka, ' It is not known exactly what causes this repeatable behavior' (adalah tidak diketahui secara tepat apa yang menyebabkan tabiat yang berulang-ulang ini terjadi)(http://ds9.ssl.berkeley.edu/solarweek/MONDAY/facts.html). Siapakah yang menentukan tabiat matahari yang tidak berakal dan tiada kemahuan ini? Akal yang waras tidak boleh menolak wujud satu kuasa yang mempunyai kehendak (iradah) yang telah mencipta dan mengawal matahari selama 4.5 billion tahun.

Matahari dan tabiatnya adalah satu contoh makhluk. Setiap saat ia berada dalam ta’luk kehendak Allah. Allah mnugkin akan menukarkan sifatnya kepada sejuk dan bahkan Allah boleh menghilangkan wujud matahari itu sendiri pada saat yang akan datang. Hukum mumkin ini adalah satu hak eksklusif Allah dalam mengatur penciptaan dan perjalanan alam. Allah menetapkan satu undang-undang tabii alam ini dan Dia berkuasa dan boleh menjalankan alam ini diluar dari undang-undang ini.Bahkan Allah tidak pernah terikat untuk terus menjalankan alam ini mengikut sunnahNya yang sedia ada ini. Kejadian di luar dari hukum tabiat alam dinamakan sebagai perkara yang mencarik adat dalam kitab usuluddin. Api Nabi Ibrahim as telah mendengar perintah Allah dan melanggar tabiatnya membakar lalu ia menjadi sejuk dan selamat buat Nabi Allah Ibrahim. Besi menjadi lembut di tangan Nabi Allah Daud as. Nabi Sulaiman as boleh menjadikan angin sebagai kenderaan. Nabi besar akhir zaman, Saidina Muhammad saw banyak kali, dengan izin Tuhannya, melakukan perkara yang melanggar hukum tabiat alam. Makanan yang secukupnya untuk dua orang cukup untuk lebih empat puluh orang. Unta yang tidak pernah bercakap boleh bertutur dengan fasih kepada Baginda saw. Tentera Nabi saw menyeberangi sungai Furat tanpa jambatan menyanggah sifat fizik air. Wali Songo menuKarkan tanah menjadi emas dengan jalan yang sama. Doa dikabulkan Tuhan lalu alam bergerak keluar dari tabiatnya. Tabiatnya hanyalah hukum kebiasaan yang selalu berlaku. Tetapi setiap saat hanya Allah sahaja yang menentukan perjalanan alam ini. Taqdir yang berlaku adalah manifestasi kepada sifat kudrat dan iradat Allah yang memerintah matahari dan setiap zarah alam ini.

Sains Alamiah (fizikal)yang dikaji dalam pelbagai bidang merupakan satu anak tangga yang membuka pintu tauhid. Setiap ilmu itu adalah sebenarnya ilmu tauhid. Namun, sedihnya guru-guru yang mnegajarnya telah membuang Allah dari muka surat buku-buku mereka. Lalu warga dunia telah disesatkan dan diheret ke jurang kehancuran.

Tauhid Ahli Badar

Fakta Perang Badar
(sila rujuk kitab kisah para sahabat II, allamah raisulmuhaddisin Maulana Muhammad Zakaria alkandahlawi)

Kekuatan Pihak Muslim: 313 lelaki / 3 ekor kuda / 70 unta / 6 atau 9 batang lembing / 8 bilah pedang

kekuatan Pihak Quraisy: lebih seribu orang lelaki / 700 ekor unta / 100 kuda / peralatan senjata yang lengkap / alat muzik & penyanyi wanita

Kehebatan Ahli Badar

Ahli Badar adalah sahabat-sahabat Rasulullah saw yang keluar bersama-sama Baginda Nabi saw untuk menyekat kafilah dagang Abi Sufyan yang kecil. Tiada dalam fikiran 313orang manusia hebat ini bahawa mereka sedang menuju kepada taqdir peperangan. Mereka tidak menyangka bahawa Abu Sufyan telah dapat menghidu gerakan mereka dan menghantar utusan memhon bantuan dari musyrikin Mekah. Bila ditanya oleh Rasulullah bahawa mereka akan menghadapi pasukan yang besar dari Mekah mereka tetap tidak berganjak untuk bersama-sama Baginda Nabi saw. Bahkan bila mereka sudah mengetahui kekuatan sebenar musuh pun mereka tetap berkata kami akan bersamamu wahai Nabi Allah. Mereka benar-benar yakin untuk menghadapi pedang musyrikin dengan pelepah tamar. Mereka tidak gentar berjalan dan berlari menghadapi tentera berkuda quraisy Mekah. Dunia telah meyaksikan bagaimana kulit mereka bergeser dengan baju besi dan perisai Mekah. Keyakinan yang tinggi terselinap di bawah kulit mereka bahawa pasukan mereka tidak kan dipersia-siakan Allah.

Ahli Badar percaya bahawa Allah lah yang mengenggam segala ka inat (makhluk). Segala ka inat tidak memberi bekas. Pedang tidak akan melukakan kulit mereka tanpa izin Allah. Perisai musuh akan tembus dengan tebasan pelepah tamar mereka jika dikehendaki Allah. Bilangan seribu bukanlah bergerak dengan kudrat lain dari kudrat Allah. Tetap semuanya bergerak dengan kekuatan yang datang dari sumber yang sama dengan kekuatan yang mengalir dalam darah, otot dan sendi mereka. Jika kekuatan itu menyebelahi mereka maka hilanglah segala kelebihan yang ada pada bilangan tentera dan keampuhan senjata serta kekebalan baju besi. Bila tabiat alam ditukar oleh Allah untuk memberi kelebihan kepada pihak ahli Badar, maka berlakulah seribu satu kejaiban dalam peperangan ini sehingga sejarah mencatat kemenangan kepada pihak Nabi dan sahabat ahli badar.

Ahli Badar berpegang kepada hukum tauhid atau hukum ketuhanan. Mereka yakin matahari pun tunduk kepada kekuasaan dan kehendak Allah. Mereka amat yakin bahawa Allah adalah sumber kepada segala taqdir. Alam ini berjalan di atas ketentuan Allah pada setiap saat. Mereka yakin bahawa Allah akan membantu mereka sehingga Allah telah memberi kemenangan kepada pelepah tamar ke atas mata pedang. 313 orang mengatasi 1000orang. Pasukan perang serba lengkap kalah kepada pasukan patroli yang kecil. Keyakinan ahli badar ini perlu diamati dan diambil panduan. Amat mudah untuk kita mengagumi dan berkata mari kita ikut sunnah ahli badar.dalam keyakinan bertauhid kita. Namun hakikatnya, untuk mencapai darjah atau maqam iman yang sedemikian tinggi bukanlah hanya dengan sebutan dan perbahasan semata-mata.

Jalan Mencapai Tauhid Ahli Badar

Menurut Walidku, pembinaan tauhid perlu bermula dengan mempelajari tauhid usuluddin yang dikenali sebagai pelajaran sifat 20 di alam Nusantara. Dengan memahami i'tiqad dalam mazhab 'Asya irah atau Maturidiah ini, asas kefahaman kita tentang aqidah akan terselamat dari fahaman yang menyeleweng. Cukup dengan pelajaran yang agak ringkas ini utuk menjadi benteng dalam menghadapi selitan-selitan racun iblis. Fahaman muktazilah yang pernah diranapkan oleh Al Imam Al Ghazali dengan tersungkurnya dan bertaubatnya Al Zamakhsyari mula menampakkan kewujudan semula. Aliran pemikiran Aminah Wadud yang cuba memahami Islam melalui daya intelek yang tiada disiplin ilmiah adalah amat mirip dengan faham muktazilah. Bunga-bunga fahaman ini juga boleh dilihat dalam bicara yang mempertikai atau mempersoalkan khazanah thurath. Mengambil fahaman asas aqidah lewat bicara sifat 20 adalah jalan yang selamat dari kegelinciran faham, praktik atau adab sebagai seorang mukmin.

Menurut Syaikh Abdul Qadir Isa rahimahullah dalam kitabnya Haqaiq Tasawuf, pelajaran tauhid usuluddin adalah muqaddimah kepada aqidah. Kenyataan ini memberi jawapan yang tepat kenapa dengan sifat 20 kita masih lemah dan terjajah. Sehingga ada yang memperkecilkan peranan usuluddin dalam membina ummah yang kuat pemimpin dunia. Syaikhuna mendidik kami supaya tidak terlekat dengan iktiqad aqliyyah usuluddin. Pendekatan yang dibawa adalah selari dengan uslub pendidikan dalam ayat ke 2 suratul jumuah.

Dia yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayatnya menyucikan jiwa mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Kami diasuh supaya menjalani pendidikan tauhid melalui fasa amal menyucikan batin daripada segala aghyar. Kami ditalqinkan zikir yang sampai sanadnya kepada Baginda Nabi saw yang menadi wasilah untuk mencapai hakikat ihsan yang disebut hadis masyhur petikan Imam Nawawi rahmahullah dalam kitab Arba'in (Hadis 40). Saidina Jibril bertanya dan dijawab Saidina wanabiyyina Muhammad saw, bahawa ihsan itu adalah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak nampak maka sesungguhnya Dia melihat kamu.

Bicara tauhid guru kami membuka rahsia kitab Hikam yang disyarah oleh Tokku Pulau manis. Kami menyelusuri pegangan, adab akhlak, pandangan matahati, rahsia alam serta diri dan sirr Ilahiyah dalam memahami kalimah tauhid secara halus. Tauhid yang membincangkan hal-hal yang mendalam begini membawa kami memahami bagaimana generasi yang berada di bawah dagu Rasulullah saw menjadi kaum yang sebegitu hebat dan berjaya memimpin dunia kepada cahaya kecemerlangan dunia akhirat. Mereka telah menakluk dunia dengan kesucian tauhid yang telah menghasilkan kekuatan dalam kehalusan kemanusiaan.

Wallahua'lam ……