Sunday, November 9, 2008

KETURUNAN BERUK?

lبسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah, Tuhan yang Amat Mengasihi Lagi Amat Pemurah
Segala puji bagi Allah yang menguasai hidup manusia dalam genggaman taqdirNya dan yang telah menjadikan hidup ini satu permainan dan tipu daya semata-mata. Selawat & salam ke hadrat SaidinaMuhammad صل الله عليه والسلامPenghulu Anbia walmursalin.

Beruk-manusia Piltdown Man

Evolutionist adalah segolongan manusia yang mempercayai bahawa alam ini telah melalui proses kejadian secara evolusi yang menyakini pilihan semula jadi (natural selection) dan kebetulan (coincidence) sebagai unsur yang menentukan pada tahap-tahap kejadian. Mereka menolak dan cuba meyakinkan dunia bahawa tiada penciptaan dalam kejadian alam ini. Pada mereka tiada Tuhan yang menjadikan alam. Khilafnya mereka banyak dibuktikan oleh penemuan-penemuan saintifik daripada kalangan evolutionist sendiri.

Pencarian mereka tentang rantai penghubung manusia antara spesis beruk (ape) berjalan empat anggota (4 limbs) kepada beruk yang berjalan tegak di atas 2 kaki (homo erectus) yang menjadi permulaan kepada manusia berfikir moden (homo sapien) masih berterusan sehingga ke hari ini. Mereka masih gagal untuk membuktikan wujudnya satu spesis transit yang menyambung wujud beruk kepada wujud manusia. Bahkan spesis rantai pada tahap lain juga tidak pernah ditemui. Ikan belukur (mudskipper) yang dipelihara dalam makmal mereka belum satu pun berubah kepada haiwan darat yang berkaki sempurna. Ikan ini didakwa adalah spesis rantai hidupan laut dan darat.

Bahkan mereka sanggup menipu untuk menegakkan benang yang basah. SerpihanTengkorak, gigi dan tulang rahang Piltdown Man atau Orang Dawson (Eoanthropus dawsoni) telah ditemui di Kampung Uckfield, East Sussex, England pada tahun 1908 hingga 1912. Penemuan Charles Dawson ini telah menjadi kebanggaan golongan evolutionist dan dipamerkan di Muzium London lebih dari 40 tahun sebelum ia disahkan sebagai satu penipuan. Serpihan tengkorak manusia zaman medieval, tulang rahang bawah orang utan Serawak yang berumur 500 tahun dan fosil gigi chimpanzee digabungkan untuk membentuk satu penipuan yang cukup melucukan. Pada tahun 1953, Weiner, Le Gros Clark, and Oakley telah membongkarkan muslihat yang cukup memalukan ini. Jadi, sehingga hari ini golongan yang cuba untuk menafikan sumber ilmu yang sebenar ini masih tercari-cari beruk-manusia atau manusia-beruk yang menjadi bukti penting kebenaran teori evolusi.

Teori evolusi adalah salah satu kegilaan akal manusia yang cuba mentafsir alam secara mengetepikan sumber langit. Keterbatasan akal tanpa panduan wahyu semakin terserlah dari hari ke hari. Sains dan keilmuan zaman moden banyak diasaskan di atas teori-teori dan pendapat-pendapat sesama manusia. Kita banyak mengeluarkan thesis, kemudian akan ada anti-thesis dan seterusnya sinthesis. Corak keilmuan yang tidak ada kata putus mutlak menyebabkan umat manusia keliru tentang kebenaran dan kepalsuan. Sistem keilmuan moden membuka perkembangan perbahasan dan pemikiran dan dalam masa yang sama menafikan sumber mutlak kebenaran itu mestilah selari dengan Kalam Allah. Dalam alam akademik seorang manusia berhak mengeluarkan apa-apa teori walaupun ia terang-terangan melanggar kebenaran dari Allah. Ketiadaan satu kayu ukur yang mutlak ini banyak menimbulkan kecelaruan dalam pola pemikiran manusia sejagat. Sehinggakan kewujudan Allah yang jelas dan nyata buktinya turut dibahaskan.

Kegilaan berfikir tanpa panduan langit ini diwariskan ke dalam buku teks sejarah, sains, falsafah, perubatan dan sebagainya. Sehingga dunia cukup menderita kerana mempercayai cendikiawan-cendikiawan (kononnya!) ini. Namun demikian mereka tetap terus seronok dan bangga berada dalam kesesatan ini walaupun mereka sendiri ragu dengan fahaman mereka.

Sebenarnya sains dan agama adalah mempunyai matlamat yang sama walaupun dengan wajah yang berbeza. Merungkai rahsia photon dan Hubble Ultra Deep Field untuk mencari hakikat kehidupan serta bersahabat dan saling memberi dan mengambil manfaat dengan alam. Manusia menjaga alam dan alam berkhidmat kepadanya. Sains melalui jalan yang sukar dan panjang tetapi dapat membentuk tamadun fizikal manusia. Agama membawa wahyu langit membisikkan isyarat rahsia alam. Alangkah indahnya dunia sains dan tamadun semasa Islam menjadi pemimpinnya. Isyarat wahyu ditafsir akal secara tajribah (pengkajian) oleh para saintis. Hasilnya, dunia menyaksikan lonjakan hebat ilmu dan teknologi di timur tengah. Suntikan isyarat langit membongkar rahsia alam dan manusia mengambil manfaat dari alam. Keselesaandan kecanggihan hidup moden terhutang budi kepada saintis beriman di zaman Al Farabi, Al Khawarizmi, Ibnu Nafis dan lain-lain, bila dunia eropah menceduk hasil kajian mereka dan membina teknologi hingga ke tahap hari ini. Malangnya orang eropah terlupa atau sengaja tidak mengambil aspek ketuhanan dan kerohanian di dalam kitab-kitab Islam. Maka, dunia terputus dari sumber kebahagiaan sebenar umat manusia.

Piltdown Man atau Eoanthropus Dawsoni hanyalah satu contoh kebodohan dan kejahatan niat golongan yang tidak mempercayai agama langit. Kita perlu insaf dan berfikir tentang corak pemikiran yang dianuti agar tidak terjebak dengan pelbagai perangkap syirik.