Tuesday, November 11, 2008

ROH adalah hakikat diri manusia

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan manusia seindah-indah kejadian yang juga, memiliki seindah-indah rahsia dan juga sehampir-hampir makhluk dengan Allah. Selawat dan salam kepada Bapa Segala Ruh, Muhammad صل الله عليه والسلام yang menjadi kekasih Allah dan yang menunjukkan jalan kepada ruh manusia untuk kembali kepada Allah.

Roh manusia adalah diri manusia yang hakiki

Sains moden bingung berteori tentang hakikat kejadian manusia. Pertikaian antara Arthur Koestler dalam The Ghost in the Machine dengan Gilbert Ryle dalam membincangkan teori René Descartes tentang hubungan minda dengan tubuh fizikal menarik untuk diperhatikan. Mindakah yang menjadi penagawal kepada gerak langkah jasmani? Adakah manusia itu hanyalah jasad kasar ini sahaja? Adakah jasad ini ada kemampuan untuk bergerak sendiri? Apa yang terjadi semasa tidur dan mati. Kenapa jasad ini kehilangan daya untuk bergerak sendiri? Bagaimana manusia boleh berfikir? Sains mencari jawapan kepada hubungan tubuh kasar manusia dengan tubuh metafiziknya (roh). Pertikaian Ryle dan Koestler ini adalah salah satu contoh kecelaruan manusia dalam memahami alam tanpa panduan langit.

Alangkah rumit dan jauhnya jalan sains tanpa bisikan wahyu. Terumbang-ambing mencari realiti diri dan hidup. Dengan keangkuhan dan kejahilan sesetengah saintis membuat andaian-andaian yang hanya berdasarkan kepada ta’kulan inderawi yang melihat alam kasar ini sahaja. Tanpa mata dan telinga di alam ghaib mereka memimpin anak Adam jauh dari mnegenali hakikat diri yang ghaib. Mereka menggunakan kaedah emperical untuk mencari alam ghaib!!! Dan setengahnya pula berfalsafah dengan pemikiran yang terhad tentang wujud roh. Mereka akan sentiasa ketinggalan dalam memahami hakikat diri dan alam ini. Pada 1939, Semyon Davidovich Kirlian, seorang saintis Russia telah merakam imej yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Fotografi Kirlian ini membuka mata dunia akademik kepada satu kewujudan ghaib yang seolah-olah berkembar dengan alam kasar. Kemudian fotografi aura telah ditemui. Imej aura manusia yang ghaib kepada mata kasar manusia boleh dirakam dan dilihat. Aura ini dikaji dan diberi nama Human Energy Field (HEF) oleh Dr Valerie Hunt. Dr Gloria Alvino dari UCLA juga telah mengkaji fenomena ini dan berjaya mengukur kadar kekuatannya. Adakah ini roh manusia? Kewujudan HEF yang ghaib pada mata kasar inikah roh manusia?

Rasanya sains moden masih belum mampu memberi jawapan secara hukum sebagaimana mereka menerima hukum graviti Newton. Maknanya, konflik ini akan berterusan dan manusia yang percayakan sains moden bulat-bulat mungkin akan mati sebelum tahu adakah roh itu wujud atau tidak. Inilah batas sains pada hari ini. Mereka tidak akan mampu melihat alam wujdunya roh dengan peralatan yang ada. Profesor Dr Shahidan Radiman , Pensyarah Nuklear Fizik berkata penemuan dalam fizik quantum membawa manusia ke ambang alam ghaib. Einstein dikatakan telah membuka semula pintu alam ghaib setelah ditutup oleh teori mekanistik Newton.Sains nanti mungkin akan mempunyai jawapan yang konkrit untuk soalan-soalan berikut Adakah alam nyata ini sebenarnya kembaran alam ghaib? Juga tentang roh, adakah benar ia wujud?

Manusia yang berhubung dengan langit telah mewarisi hakikat bahawa manusia itu adalah roh yang wujud bersama-sama jasad dari bapa mereka, Adam عليه السلام. Baginda عليه السلام menerima wahyu dari Allah dan al Quran sebagai wahyu terakhir juga telah terang-terangan memberi jawapan mengatakan bahawa roh itu wujud dan ia adalah urusan Allah.

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, maka katakanlah: “Roh itu termasuk dalam urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberikan pengetahuan melainkan sedikit”. Surah al-Isra’:85

Allah (jualah yang) memegang jiwa (roh manusia) ketika matinya dan (Dia jugalah yang memegang) jiwa (roh) yang belum mati diwaktu tidurnya. Maka Dia tahankan jiwa (roh orang) yang telah Dia tetapkaan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa (roh) yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir (menggunakan akal fikiran. Surah az-Zumar: 42.

Hadis Nabi صل الله عليه والسلام telaqh bersabda tentang hati.

"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '

Imam AlGhazali رحمة الله عليه dan jua Sayikh Abdul Qadir Al Jailani رحمة الله عليه menafsirkan hati itu adalah ruh manusia.

Jadi marilah terus kepada hakikat yang dikhabarkan oleh langit, sambil kita menunggu kalau sains boleh mencapai hakikat ini. DIRI KITA YANG SEBENARNYA ADALAH ROH.